Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, semua syarikat telekomunikasi perlu mematuhi arahan tersebut yang berkuat kuasa serta-merta demi kepentingan orang ramai.

“Tiada kutipan cukai SST dikenakan terhadap kad prabayar dan ia dikecualikan serta-merta selepas menerima rungutan orang ramai terhadap perkara itu.

“Semua syarikat telekomunikasi perlu mematuhi arahan ini iaitu tidak mengenakan cukai ke atas setiap kad nilai tambah prabayar,” katanya ketika berucap dalam Taklimat Pelaksanaan SST di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Penga­rah Kastam, Datuk Seri T. Subromaniam; Penolong Pengarah Kastam Zon Sabah, Madrim Tasan dan Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Labuan, Datuk Abdullah Jaafar.

Semalam, orang ramai yang menggunakan perkhidmatan kad nilai tambah prabayar merungut apabila produk itu yang sepatutnya tersenarai antara barangan bebas SST tetap dikenakan cukai tersebut.

Sebagai contoh, jika pelanggan membuat nilai tambah sebanyak RM10, jumlah kredit yang dite­rima secara dalam talian adalah RM9.43 selepas ditolak cukai sebanyak 57 sen.

Guan Eng berkata, arahan tersebut merupakan antara langkah kerajaan memastikan pelaksanaan SST sentiasa ditambah baik sepanjang masa jika ada perkara-perkara yang membebankan pengguna.

‘‘Bagaimanapun Malaysia tiada pilihan untuk melaksanakan cukai ini bagi menggantikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk mengelak negara berdepan dengan masalah defisit.

‘‘Dalam masa sama, kerajaan akan memastikan pelaksanaan SST ini juga tidak akan membebankan rakyat sekali gus mampu meningkatkan ekonomi negara,’’ katanya.

Sementara itu, dalam sidang akhbar selepas itu, Guan Eng berkata, kerajaan yakin SST akan menurunkan harga barang, namun kesannya hanya dapat dilihat selepas tempoh dua bulan.

‘‘Saya harap dengan segala langkah yang diambil, harga barang masih terkawal dan kesan penurunannya akan dilihat selepas dua bulan,’’ ujarnya.