Beliau berkata, Kabinet hanya dimaklumkan mengenai sistem yang akan menguruskan syarikat-syarikat pengendalian pakej umrah di seluruh negara itu perlu didaftarkan dan mengikut peraturan tertentu untuk mengelak bakal jemaah umrah tertipu.

“Dalam hal ini, ia tidak langsung sabit (diumumkan) kepada pelantikan kepada mana-mana syarikat yang mengendalikan sistem pemantauan ini, apatah lagi apabila ia mendapat perkhidmatan luar (outsource).

“Saya telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan hari ini. Saya amat mengalu-alukan pembatalan Imams kerana kerajaan tidak mahu syarikat swasta mengenakan bayaran tertentu yang membebankan mereka yang mengerjakan umrah,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) ke-42 di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Yang Dipertua Pemadam, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Semalam, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan membatalkan pelaksanaan Imams yang diumumkan oleh Timbalan Menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Susulan pembatalan sistem Imams, Mas Ermieyati berkata, kerajaan akan mencari kaedah baharu yang lebih berkesan bagi menangani penipuan pakej umrah.

Ahmad Zahid juga percaya kemungkinan wujud pihak yang ingin mengambil peluang dalam pelaksanaan Imams dan mempersoal bagaimana seorang bukan Islam diberi tanggungjawab sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) dalam pengurusan pelaksanaan ibadat umrah.

Beliau berkata, pembatalan itu dibuat bukan disebabkan faktor politik tetapi setelah ada protes daripada syarikat-syarikat pengendali pelancongan dan umrah, malah daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pemuda UMNO.

“Saya tidak fikir ada unsur-unsur politik dalam perkara ini tetapi saya menghidu bau yang kurang mengenakkan hidung.

“Jika ada yang mengambil peluang terutama apabila CEO yang tidak pernah mengerjakan umrah untuk menjadi CEO (sistem pelaksanaan umrah) dan saya fikir kaedah ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Tambah Ahmad Zahid, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pelancongan, beliau akan memanggil satu Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kabinet Pelancongan untuk mencari mekanisme yang boleh dilakukan oleh agensi kerajaan dan tidak dilakukan oleh syarikat swasta.

Mesyuarat ini, katanya, bagi menentukan supaya syarikat-syarikat yang melakukan pakej umrah tidak menjadikan mereka yang menyertai ibadah umrah ini sebagai mangsa.