Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, Nur Fatihah Azaini, 29, bagaimanapun cedera di pangkal hidung hingga kelopak mata kiri akibat terkena peluru yang tembus menerusi bumbung zink rumah keluarganya di Kampung Bukit Jambul di sini.

Rumah tersebut terletak kira-kira 500 meter dari kawasan lapang sasar tersebut dan dipisahkan dengan sebuah bukit dikenali sebagai Bukit Pinang.

Menurut Nur Fatihah, kejadian berlaku ketika dia ba­ring bersama bayi perem­puannya, Nurul Hana Aqilah Mohd. Edy yang baru berusia 15 hari sambil menonton te­levisyen di ruang tamu.

“Saya terkejut apabila berasa seperti satu objek berat menimpa atas muka dan terus bangun sebelum mendapati bahagian muka sudah berlumuran darah,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di sini hari ini.

Menurutnya, dia terus mendapatkan bayi perempuannya dan mendapati tiada kecede­ra­an sebelum menjerit meminta tolong ibunya, Doyah Saad, 50, yang berada berhampiran.

“Darah terlalu banyak dan ibu ambil ais untuk menghentikan pendarahan sebelum saya dibawa ke Klinik Kesihatan Pendang oleh ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Ujar Nur Fatihah lagi, doktor memberitahu peluru tidak menembusi bahagian hidungnya sebaliknya terkena sipi dari kelopak mata hingga pangkal hidung sepanjang kira-kira empat sentimeter.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintenden Arriz Sham Hamezah berkata, semasa kejadian, pelajar sekolah yang menyertai kadet polis dari daerah Padang Terap sedang menjalani latihan menembak di lapang sasar berkenaan.

“Fail dibuka dan kita belum mengklasifikasikan seksyen untuk siasatan kes ini,” tambahnya.

-habis