Riduan dipilih selaku pene­rima anugerah tersebut selepas dia membuat liputan pada Grand Prix Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), November tahun lalu.

Untuk anugerah utama pula, pelumba pertama negara bagi kelas utama MotoGP, Hafizh Syahrin Abdullah dinobatkan sebagai pelumba antarabangsa terbaik Petronas.

Hafizh yang terkenal dengan gelaran EL Pescao mengecapi prestasi cemerlang, musim lalu, bersama pasukan Tech 3 apabila muncul sebagai pendatang baharu kedua terbaik MotoGP 2018.

Anak muda berusia 23 tahun kelahiran Ampang itu, menamatkan saingan keseluruhan di tangga ke-16 dengan 46 mata. Hasil kejayaan tersebut, pasukan Tech 3 melanjutkan kontraknya semusim lagi, tetapi, Hafizh bakal memacu jentera buatan Austria, KTM bagi musim 2019.

Bagaimanapun, Hafizh tidak hadir pada majlis itu kerana menjalani latihan di luar negara, dan dia diwakili bapanya, Abdullah Harun yang menerima anugerah daripada Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi tetamu kehormat pada majlis anugerah itu dan beliau diiringi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sementara itu, bagi Anugerah Pemandu Antarabangsa Terbaik menjadi milik pelumba berbakat negara, Jazeman Jaafar yang mengetepikan rakan sepasukannya, Nabil Jeffri dan Weiron Tan serta dua lagi pencabar, Afiq Ikhwan Yazid serta Mitchell Cheah.