Pegawai Tinggi TNI-AU, Marsyal Pertama Indra Yadi berkata, kemunculan pasukan tersebut dalam edisi-13 ini merupakan penyertaan sulung pasukan itu dalam LIMA.

“Empat buah pesawat akan terbang pulang hari ini, bagaimanapun penyertaan syarikat Indonesia dan lain-lain masih diteruskan.

“Ini adalah penyertaan pertama pasukan aerobatik Jupiter One Indonesia di Langkawi. Namun tragedi itu menyebabkan kami terpaksa menarik diri,” katanya kepada pemberita selepas melawat keempat-empat juruterbang Indonesia itu di Hospital Langkawi, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Unit Perubatan LIMA 2015, Prof. Datuk Seri Dr. Abu Hassan Asaari Abdullah berkata, rawatan sewajarnya telah diberikan kepada empat juruterbang berkenaan.

“Keadaan juruterbang Arief Hartono, Humaidi Syarif Romos, Sri Rajoro dan Yadi Indra Yadi kini dalam keadaan stabil dan mereka sudah dibenarkan keluar hospital kira-kira pukul 2 petang tadi.

“Kesemuanya telah menjalani pemeriksaan pakar dan ujian sinar X, mereka stabil tanpa kecederaan luaran atau dalaman yang serius,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seorang warga emas yang pengsan dalam kejadian itu, Abu Mutalib Said, 70, yang dimasukkan ke wad semalam berada dalam keadaan stabil.

“Mangsa kini masih di dalam pengawasan wad untuk pemerhatian dan rawatan aspek psikologi bagi menenangkannya.

“Warga emas itu yang melihat kejadian berkenaan di hadapan matanya mengalami gangguan psikologi yang agak serius dalam beberapa tempoh sehingga menyebabkan dia pengsan,” katanya.