KHOO POAY TIONG
KHOO POAY TIONG

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, perjudian haram telah lama berleluasa di seluruh negara, dan merupakan suatu masalah yang tidak sihat kerana membawa pelbagai kemudaratan kepada masyarakat.

“PDRM telah menubuhkan bilik gerakan khas di setiap negeri untuk membolehkan orang awam membuat laporan secara khusus tentang kegiatan perjudian haram.

“Menurut Menteri KDN, PDRM juga telah diarahkan untuk mengemukakan laporan tindakan pembanterasan kepada beliau dan Perdana Menteri setiap dua minggu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Poay Tiong memberitahu, beliau turut menyambut baik cadangan KDN untuk meminda dan memperkasakan undang-undang sedia ada supaya sindiket-sindiket tidak mudah terlepas serta membolehkan penguatkuasaan dijalankan dengan lebih berkesan.

“Saya berharap KDN dan PDRM akan terus mengambil tindakan proaktif, dan ingin menegaskan bahawa tindakan perlu ditumpukan terhadap ketua-ketua sindiket. Jika tidak, kedai-kedai perjudian haram akan dibuka semula selepas beberapa minggu setelah tindakan diambil, dan ini tidak akan menyelesaikan masalah tersebut.

“Saya yakin bahawa pihak PDRM sudah pasti mempunyai maklumat mengenai ketua-ketua sindiket. Oleh itu, saya menyeru dan menyokong agar PDRM terus berani serta tegas dalam mengambil tindakan terhadap mereka,” katanya. - UTUSAN ONLINE