Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan arahan pertukaran terhadap KPD terlibat juga telah dikeluarkan.

“Kalau didapati aktiviti perjudian haram masih berleluasa di da­erah tertentu, tindakan serta-merta (pertukaran) akan diambil. Oleh itu, dengan tindakan drastik tersebut kita harap mampu membanteras isu perjudian haram di negara ini.

“Sekiranya ada keperluan, saya sendiri akan turut serta dalam operasi pusat perjudian haram di mana-mana lokasi berdasarkan maklumat diterima,” kata­nya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kursus Komunikasi Profesional di Maktab Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.

Pada 28 Julai lalu, Mingguan Malaysia melaporkan Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad diarah bertukar serta-merta ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) Air Hitam, Jempol, Ne­geri Sembilan sebagai Komandan.

Pertukaran itu dibuat selepas Mohamad Fuzi turun padang dalam serbuan mengejut di 10 premis sekitar Jalan Bandar Rawang 3, Bandar Baru Rawang, dekat sini yang me­nyaksikan sebanyak 114 individu termasuk pasangan suami isteri dan anak perempuan mereka yang berusia 10 tahun ditahan.

Selain tangkapan, pihak polis turut merampas 208 mesin slot, 73 mesin simulator, 63 cip tambah nilai yang bernilai lebih RM1 juta ringgit selain wang tunai RM16,808.

Sementara itu, Mohamad Fuzi memaklumkan, setakat minggu lalu, pihaknya telah menerima sebanyak 173 panggilan daripada orang awam yang menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti perjudian di seluruh negara menerusi Bilik Gerakan Khas yang dibuka baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan daripada jumlah itu aduan dari Lembah Klang agak dingin biarpun isu terbabit hangat diperkatakan.

“Oleh itu, kita harap orang awam khususnya dari sekitar Lembah Klang dapat menyalurkan lebih banyak maklumat supaya tindakan dapat diambil,” ujarnya.