Jualan yang bermula pukul 10 pagi dan berterusan sehingga 8 malam itu berjaya mendapat sam­butan luar biasa daripada orang ramai khususnya penduduk Tanah Merah yang berpusu-pusu mendapatkan barangan keperluan asas pada harga yang cukup murah.

Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, program Jualan Sentuhan Rakyat tersebut diadakan sempena Karnival Himpunan Rak­yat Tanah Merah Bersama Timbalan Perdana Menteri yang dihadiri kira-kira 50,000 pengunjung.

“Pengunjung yang hadir ke karnival yang dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis itu sedikit-sebanyak dapat membantu meningkatkan nilai jualan dalam program berkenaan.

“Pada mulanya, saya menyasarkan nilai jualan program ini dalam sekitar RM200,000 dan sambutan luar biasa yang dite­rima daripada orang ramai memang luar daripada jangkaan. Terima kasih kepada penduduk Tanah Merah yang te­lah memberi sokongan menjayakan karnival dan program Jualan Sentuhan Rakyat tersebut,” katanya.

Sementara itu, tambah Ikmal Hi­sham, jumlah nilai jualan tersebut diketahuinya selepas dimaklumkan sendiri oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Beliau memberikan ucapan tahniah atas kejayaan tersebut dan memaklumkan nilai jualan sehingga lebih RM400,000 itu meng­atasi nilai jualan program sama sebelum ini yang telah diadakan di banyak lokasi di seluruh negara.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Datuk Seri Hamzah kerana tanpa sokongan padu pihaknya program yang dirancang tidak mungkin mencapai sasarannya. Lebih penting saya gembira dapat melihat mereka yang datang semalam turut membawa pulang pelbagai barangan keperluan asas yang diperoleh dengan harga cukup berpatutan,” katanya.

Jelas beliau, beras, minyak masak, tepung dan gula serta da­ging lembu dan ayam merupakan antara yang paling mendapat sambutan daripada orang ramai.

“Program Jualan Sentuhan Rakyat ini boleh saya anggap sebagai idea yang cukup baik dan kreatif daripada kementerian dalam membantu meringankan beban rakyat,” tegasnya.