Pengarah Pendidikan negeri, Muhammas Zahari Othman berkata, pihaknya amat berterima kasih dengan komitmen para guru serta sokongan penuh ibu bapa yang memberi peluang kepada pelajar mencipta kejayaan termasuk dalam bidang ko-kurikulum.

Beliau berkata, pelajar pendidikan khas dengan pelbagai kekurangan diri tetap mampu dan berhak diberi pengalaman dan pendidikan sama seperti pelajar lain.

“Kita mempunyai pelajar bermasalah pembelajaran, pendengaran, penglihatan dan pelbagai lagi tetapi semua murid kita ini berhak mendapat pendidikan dan kejayaan dalam konteks akademik, potensi diri mahupun sahsiah.

“Proses mencungkil bakat dan keterampilan mereka juga adalah sebahagian proses pendidikan dan merupakan sebahagian daripada generasi muda yang mesti kita beri perhatian,” katanya di Majlis Tilawah Al-Quran Pendidikan Khas negeri Kelantan 2018 di Dewan Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Kelantan di sini hari ini.

Selain acara tilawah, empat lagi kategori lain yang turut dipertandingkan adalah hafazan, bercerita dari kisah al-Quran, syarahan agama dan nasyid.

Sementara itu, Muhammad Zahari berkata, Kelantan bakal menjadi tuan rumah bagi pertandingan sama peringkat kebangsaan yang akan berlangsung pada 16 hingga 19 Oktober hadapan.

Pada pertandingan edisi ke-16 peringkat negeri kali ini, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu telah muncul juara keseluruhan.

Keputusan acara tilawah al-Quran kategori bermasalah pembelajaran sekolah rendah lelaki dimenangi oleh M.Amirul Irfan Maduzzubaitah mewakili daerah Tumpat; Nur Iman Insyirah Rohadi, Pasir Puteh (rendah perempuan); Muhamad Huzaimi Ismail, Pasir Mas (menengah lelaki) dan Aqilah Johan, Kota Bharu (menengah perempuan).

Manakala johan acara hafazan kategori bermasalah pembelajaran sekolah rendah lelaki dimenangi Mohd Fatihi Abdullah dari Pasir Mas; Nik Nurul Hidayatul Asyikin Alias, Tumpat (rendah perempuan); Muhammad Asroi Mahidin, Pasir Puteh (menengah lelaki) dan Rabiatul Salsabila Al-Zahari, Kota Bharu (menengah perempuan).

Sementara itu, bagi acara bercerita kisah dari al Quran kategori bermasalah pembelajaran sekolah rendah lelaki dijuarai M.Amirul Irfan yang juga pemenang tilawah manakala juara peringkat sekolah rendah perempuan pula digondol Nur Farahwaheda Mohd Razali mewakili daerah Kota Bharu.

Acara bercerita kisah al Quran kategori bermasalah pendengaran pula dijuarai dua wakil Kota Bharu iaitu Mohamad Syakir Ramli (rendah lelaki) dan Afwa Aidi (rendah perempuan). - UTUSAN ONLINE