Timbalan JPN Kelantan, Abdullah Mat berkata, arahan larangan itu bergantung kepada Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Jika indeks itu memberikan kesan kepada pelajar, pihak kami akan mengeluarkan surat untuk menghentikan segala aktiviti pelajar di luar kelas.

“Indeks JAS memberikan petunjuk kepada kami sama ada melarang dan membenarkan sekolah mengadakan aktiviti luar,” katanya kepada pemberita selepas Merasmikan Program Pelancaran Bulan Kemerdekaan Ke-62 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan negara dilanda jerebu bermula 1 Ogos disebabkan kebakaran hutan di negara terbabit, kebakaran itu dilaporkan berlaku di Riau, Sumatera Selatan, Jambi, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.

Abdullah berkata, sehingga kini pihaknya masih belum mengeluarkan surat bagi mengurangkan atau menghentikan segala akitiviti di luar bilik darjah.

“Kami perlu mendapat arahan daripada JAS untuk mengeluarkan apa-apa arahan kepada pihak sekolah,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihak sekolah seharusnya melihat sambutan Hari Kebangsaan dan Bulan Kemerdekaan satu perkara penting yang perlu dititik beratkan selain daripada pencapaian akademik pelajar.

“Perkara ini harus dihayati dan penting kepada pelajar bagi menyelami sikap pejuang sebelum ini untuk diamalkan dalam hidup bagi mengikuti dunia yang penuh cabaran ketika ini.

“Sangat penting pelajar untuk merasai erti kemerdekaan kerana JPN tidak mahu tanpa sambutan, erti kemerdekaan itu akan pudar dalam kalangan pelajar,” katanya. - BERNAMA