Pengerusi Jawatankuasa Pen­didikan dan Sumber Manusia negeri, Dr. Salmee Said berkata, sehingga kini JPN Kedah tidak boleh mengambil sebarang tindakan kerana dia masih terikat dengan JPN Pulau Pinang.

“Kita masih menunggu jawapan daripada JPN Pulau Pinang mengenai pertukaran guru agama itu dan menjadi harapan kita agar ustazah itu dapat ditukar bertugas ke Kedah dengan secepat mungkin.

“Jika beliau ‘dilepaskan’ kita akan bantu permudahkan urusan beliau untuk mengajar di mana-mana sekolah bersesuaian di sini dan kita juga tak pasti berapa lama proses pertukaran itu,” katanya kepada pembe­ri­ta pada program Hari Kerjaya, Keusahawanan dan Pendidikan peringkat Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Suka Menanti, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Te­naga negeri, Zamri Yusuf.

Sebelum ini, media melaporkan kehilangan seorang guru agama Sekolah Kebangsaan Genting, Balik Pulau, Pulau Pinang selepas dia tidak pulang ke rumah mereka di Alor Senibong, Langgar, di sini pada petang Isnin lepas. – BERNAMA