Dalam satu kenyataan di sini hari ini, JPM menjelaskan, penyelenggaraan itu dibuat bagi memastikan kuarters yang ditawarkan adalah selamat dan selesa untuk diduduki kakitangan awam yang berkhidmat di daerah ini.

“BPH menerima sebanyak 22,082 permohonan bagi menduduki kuarters di Putrajaya namun jumlah itu adalah lebih tinggi berbanding kuarters yang diselia BPH iaitu sebanyak 22,007 unit.

“BPH sedang melaksanakan inisiatif baharu untuk mempercepat kerja-kerja penyelenggaraan agar tempoh menunggu bagi setiap permohonan dapat dikurangkan,” katanya.

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) baru-baru ini mendakwa terdapat banyak kuarters kosong di Putrajaya di samping tidak diselenggara dengan baik oleh pihak bertanggungjawab.

Dalam pada itu JPM memaklumkan, bekas penjawat awam yang masih menduduki kuarters selepas bersara layak untuk memohon pelanjutan menduduki kediaman itu bagi tempoh tiga bulan selepas tarikh persaraan. 

“Kelulusan ini diberi bagi memastikan mereka mempunyai masa yang cukup untuk menguruskan perpindahan keluar dan menyerahkannya semula kepada BPH dalam keadaan baik sebagaimana semasa kediaman itu ditawarkan.
 
“Bagi penjawat awam yang telah memiliki rumah melalui skim Perumahan Penjawat Awam Malaysia tetapi masih menduduki kuarters, BPH sentiasa melaksanakan pemeriksaan dari masa ke semasa untuk mengenal pasti penghuni terlibat dan tindakan penguatkuasaan akan diambil,” katanya. - UTUSAN ONLINE