Koordinator JPKK, R. Mohanarani berkata, kesemua pekerja di hampir 10,000 buah sekolah seluruh negara diberhentikan kerja tanpa notis selepas kontraktor baharu yang dilantik KPM mengambil alih .

“Kami mahu KPM mambayar pampasan kepada mereka yang terjejas dengan lantikan kontraktor baharu selain mencari jalan penyelesaian sebaiknya berikutan pekerja kontrak hilang punca pendapatan sejak lebih sebulan lalu.

“Selepas kontraktor baharu mengambil alih sejak Januari lalu, kebanyakan pekerja sedia ada telah diberhentikan kerja tanpa diberi sebarang notis awal malah ada yang dihalau dari sekolah kerana tidak mengetahui tentang penamatan kerja,” katanya kepada pemberita sebelum mengadakan perjumpaan dengan Pengarah Bahagian Perolehan dan Pengurusan Aset KPM, di sini hari ini.

Mohanarani mendakwa, kontraktor baharu yang dilantik itu juga telah mengurangkan waktu kerja bagi pengawal keselamatan dengan menetapkan tugasan sebanyak tiga shif berbanding dua shif sebelum ini.

Secara tidak langsung katanya, ia telah memberi kesan kepada pendapatan pekerja apabila mereka tidak lagi boleh menuntut perbelanjaan lebih masa.

Sementara itu, KPM dalam kenyataannya kepada media hari ini memaklumkan, kementerian tidak terlibat dengan pengambilan dan penamatan pekerja kontrak berikutan ia dibuat sepenuhnya oleh syarikat yang mendapat kontrak.

Mengulas lanjut, menurut Mohanarani, beliau berharap KPM dapat menetapkan satu ketetapan baharu mengenai pengambilan pekerja kepada pihak kontraktor sekali gus dapat membantu meringankan beban mereka.

“Pekerja kontrak yang terlibat ini merupakan golongan B40 dan mereka kini hilang punca pendapatan malah, mereka juga berusia lebih 40 tahun selain sukar mencari pekerjaan baharu,” katanya. - UTUSAN ONLINE