Ini merupakan pertama kali pelaksanaan sistem JPJeBid diperluaskan ke Sabah dan akan dibuka selama lima hari bermula pukul 12 tengah malam esok (15 Ogos) hingga 11.59 malam 19 Ogos.

Pengarah JPJ negeri Sabah, Sadim Abdul berkata, pembida boleh membida seberapa banyak nombor yang diminati dengan bayaran perkhidmatan RM10 (wajib) bagi setiap nombor yang dibida (one-time).

"Tiada sekatan untuk melakukan bidaan. Walau bagaimanapun setiap individu hanya layak untuk memenangi maksimum tiga nombor kenderaan, manakala bagi perniagaan/syarikat tidak melebihi lima nombor kenderaan sahaja.

"Ia terbuka kepada warganegara Malaysia serta penduduk tetap berumur 18 tahun dan ke atas serta perniagaan/syarikat yang berdaftar.

"Walau bagaimanapun, orang awam atau syarikat yang tidak pernah mempunyai rekod di sistem mySIKAP seperti rekod kenderaan, lesen atau saman dikehendaki membuat pendaftaran terlebih dahulu di mana-mana pejabat JPJ negeri dan cawangan JPJ kecuali UTC," katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Harga bidaan bagi nombor bernilai utama adalah RM20, 000; menarik (RM3, 000), popular (RM800) dan biasa (RM300)

Sadim berkata, mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat tawaran dikeluarkan di pejabat JPJ negeri atau cawangan.

Tambah beliau, kaedah pembayaran bidaan dalam JPJeBid adalah menggunakan kad kredit dan kad debit tempatan sahaja.

"JPJeBid menawarkan ketelusan bermula daripada transaksi pendaftaran sehingga pembayaran dibuat. Pembida boleh mengetahui kedudukan (ranking) secara realtime dan tiada unsur-unsur campur tangan manusia," katanya.

Sadim memberitahu, baki nombor pendaftaran yang tidak dibida akan dibuka kepada umum untuk dibeli oleh orang awam mengikut harga minimum seperti berikut:

* Nombor bernilai utama (RM20, 000- harga bayaran tawaran)

* Nombor menarik dua digit (RM3, 000)

* Nombor menarik tiga digit (RM2, 500)

* Nombor menarik empat digit (RM2, 000)

* Nombor popular (RM500)

* Nombor semasa (RM300)

Katanya, orang awam yang berminat untuk mendapatkan baki nombor pendaftaran ini, boleh berurusan di pejabat JPJ negeri atau cawangan.

Selain itu, orang awam juga disarankan untuk memiliki ID mySIKAP awam bagi mendapatkan senarai nombor semasa yang masih belum didaftarkan lagi dan seterusnya membeli secara dalam talian, jelas beliau. - UTUSAN ONLINE