Daripada jumlah itu, kesalahan memandu melebihi had laju yang sebelum ini dikesan menerusi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) mencatat angka saman sebanyak 59,340 manakala kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat merah merekodkan sebanyak 4,410 saman.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, daripada jumlah 63,750 saman yang terkumpul dalam tempoh lebih dua bulan itu, hanya 1,675 pemandu yang tampil untuk menjelaskan saman iaitu 1,525 pemandu yang melanggar had laju manakala 150 pemandu yang gagal mematuhi lampu isyarat merah.

“Nilai saman yang dikutip daripada 1,675 pemandu yang tampil sepanjang tempoh itu pula adalah sebanyak RM498,000. Baki pemandu yang belum menjelaskan saman mereka akan diberi tempoh selama dua bulan sebelum diberi notis untuk menjelaskan saman mereka.

“Sekiranya selepas dua bulan mereka masih gagal menjelaskan saman, proses mahkamah akan dimulakan dan mereka ini akan disenaraihitamkan iaitu tidak dibenarkan lagi menjalankan urusan dengan JPJ,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas Pegawai JPJ Gred KP19 dan AB19 di Akademi JPJ Melaka di Tiang Dua di sini sebentar tadi. Yang turut hadir, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid.

Awas merupakan gabungan AES dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) dan kerajaan menerusi JPJ mengambil alih kesemua operasi AES dan Awas berkuat kuasa 1 September lalu.

Semua 3.1 juta saman AES sejak 2012 bernilai RM435 juta dibatalkan sebelum ini dengan operasi kamera dan saman itu diambil alih oleh JPJ selepas kerajaan memutuskan untuk tidak menyambung kontrak dua syarikat konsesi pengendali sistem AES yang tamat pada 31 Ogos lalu.

Sementara itu, menurut Kamarudin, pihaknya menerusi JPJ akan terus memperketatkan langkah pencegahan kemalangan termasuk penguatkuasaan kamera dan meletakkan anggota di lokasi-lokasi yang sering berlaku kemalangan maut di seluruh negara.

“Tujuan kita merekodkan data-data saman ini bukan bermakna mahu mengumpul jumlah saman atau kutipan sebaliknya kita mahu mendidik masyarakat agar mematuhi peraturan lalu lintas dan pada masa yang sama kerajaan akan bertindak tegas terhadap pemandu yang melakukan kesalahan kerana kita mahu kadar kemalangan dikurangkan,” kata beliau. - UTUSAN ONLINE