Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MHE, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar, program Fiesta MED selama tiga hari itu akan dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan merangkap Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Katanya, program bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam itu dijangka meriah dengan pelbagai aktiviti malah Mohd Redzuan atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Wan juga komited untuk berkampung selama tiga hari di sana bagi membalas jasa kepada penduduk Melaka.

“Selain membuka kedai jualan dan pameran, kami turut mengadakan forum agama, perlawanan futsal, persembahan artis terkenal dan pelbagai pameran dan kursus keusahawanan melibatkan pelbagai agensi di bawah MED.

Menurut Zaienal Abidin lagi, Ketua Setiausaha MED berkenaan Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi telah pun menyatakan persetujuan untuk bekerjasama dalam pelbagai peringkat melibatan agensi di bawah kementerian.

“Fiesta MED, anjuran MHE dengan kerjasama MED akan bertemakan Usahawan Wira Ekonomi menjemput seluruh rakyat negeri Melaka untuk turut sama hadir dan memeriahkan fiesta tersebut. Turut dijangka hadir Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Khalil Yaakub.

“Pada hari terakhir pula, kita akan mengadakan Kenduri Rakyat serta persembahan yang melibatkan beberapa artis terkenal tanah air,” katanya di sini hari ini.

Zaienal Abidin berkata, secara tidak langsung, penganjuran Fiesta MED ini mampu menjalin hubungan erat antara masyarakat pelbagai kaum dengan agensi-agensi di bawah kementerian yang menyediakan pelbagai ruang untuk mereka meningkatkan peluang keusahawanan yang dapat meningkatkan taraf kehidupan selain merapatkan ukhwah dalam kalangan warga Melaka.

“Kemajmukan penduduk di Melaka yang terdiri daripada pelbagai kaum dan menjadi tumpuan utama pelancong luar, memberi peluang kepada penduduk Melaka terlibat dalam pelbagai bidang keusahawanan.

“Selain itu mereka juga boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan menerusi pameran yang melibatkan semua agensi MED,”.

Ujar Zaienal Abidin lagi semua agensi di bawah MED antaranya TEKUN National, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Institut Koperasi Malaysia (IKN) Bank Rakyat, SME Bank, SME Corp, PROTEGE, MAGIC, Institut Latihan Keusawanan Negara (INSKEN) dan UDA Holdings akan mengambil bahagian dalam fiesta kali ini. - UTUSAN ONLINE