Dalam serbuan pada 7 Ogos lalu, sebanyak 40,000 keping setem duti sudah dibayar dan setem duti belum dibayar, sejumlah peralatan untuk menghasil produk itu, pati membuat arak dan pelekat, dirampas.

Pengarah Kastam Kedah, Datuk Johari Alifiah berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 36 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan itu bagi membantu siasatan.

"Sebelum ini, kastam pernah melumpuhkan kegiatan sama di sebuah premis di Semenyih, Selangor pada Mac lalu. Namun dalam serbuan itu, tiada tangkapan diperoleh.

"Pada masa itu, kita merampas sejumlah peralatan mengetin arak tiruan. Kita tidak menolak kemungkinan arak ini telah pun berada di dalam pasaran.

"Pembuatan arak tiruan berbahaya kerana jika tersalah 'bancuh' boleh mengakibatkan keracunan dan kematian," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Sebelum ini, pada Jun lalu, akhbar melaporkan dua lelaki tempatan dan empat warga asing maut akibat keracunan metanol selepas minum arak buatan sendiri di Pulau Pinang.

Pada September tahun lepas, seramai 23 orang di Lembah Klang turut maut akibat minum arak mengandungi metanol.

Johari seterusnya menambah, kes itu disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Eksais 1976 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 74 akta sama.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan perkara seumpama itu supaya menyalurkan maklumat kepada pihak kastam untuk tindakan lanjut. - UTUSAN ONLINE