Diskaun yang diberikan mela­lui penggunaan kad konsesi itu membolehkan penuntut me­nikmati penjimatan harga tambang sebanyak 50 peratus bagi per­khidmatan Transit Ali­ran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), Monorel dan Bas Rapid Transit (BRT).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kemudahan itu bertujuan meri­ngankan beban perbelanjaan tam­bang pengangkutan yang ditanggung penuntut institusi penga­jian tinggi selain menikmati perjalanan yang lebih selamat, cepat dan selesa ke institusi pe­ngajian masing-masing.

“Ia juga dapat mengurangkan kebergantungan kepada kereta dan pada masa yang sama me­ningkatkan gaya hidup mesra alam,’’ katanya pada Program Je­lajah Mass Rapid Transit (MRT) KPT Bersama Mahasiswa di Ste­sen MRT Stadium Kajang dekat sini, semalam.

Idris yang memulakan perjalanan menaiki MRT dari Stesen Tun Razak Exchange (TRX) ke Stesen Kajang ditemani kira-kira 300 mahasiswa universiti, poli­teknik dan kolej komuniti di se­kitar Lembah Klang.

Yang turut hadir Ketua Setia­usaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Tan Sri Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur serta Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn. Bhd., Datuk Ir. Zohari Sulaiman dan Ke­tua Pegawai Operasi Stesen Sungai Buloh-Kajang (SBK), Mohammad Isom Azis.

Beliau berkata, permohonan mendapatkan kad berkenaan boleh dibuat di Kaunter Pendaftaran Konsesi, Pusat Perhentian Bas Pasar Seni dengan bayaran sebanyak RM15.

Selain itu, katanya, program bersifat ‘Rakyat Sentrik’ itu mem­­beri peluang kepada mahasiswa untuk merasai sendiri pe­ngalaman menggunakan infra­struktur bertaraf dunia.

Menurut Idris, program itu merupakan sebahagian usaha kerajaan menggalakkan rak­yat menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat bandaraya Kuala Lumpur.

“Sekarang kita didik mereka guna pengangkutan awam semasa mereka sedang belajar de­ngan harapan mereka akan terus menggunakan sistem pengangkutan awam apabila sudah be­kerja nanti,’’ katanya.

Pada majlis itu, Idris turut menyampaikan kad konsesi kepada mahasiswa sebagai usaha menggalakkan mereka menggunakan pengangkutan awam.