Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Pengerusi Permodalan Nasional (PBN) merangkap ahli Majlis Penasihat Negara itu yang bertanggungjawab sebagai Gabenor Bank Negara pada tahun 2011 memberi cadangan mengenai bantuan itu.

Dalam masa sama, Asyraf Wajdi secara sinis turut meminta Zeti memohon maaf kepada kerajaan terdahulu kerana mencadangkan skim rasuah ini sebagaimana yang didakwa oleh Menteri Hal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Pemberian BR1M adalah cadangan Bank Negara berdasarkan kajian yang menyeluruh dan terperinci dengan mengambil kira pengalaman negara-negara di Eropah yang mengguna pakai konsep sama.

“Kalau Menteri Ekonomi (Mohamed Azmin) kata BR1M rasuah, Tan Sri Zeti kenalah bertanggungjawab kerana mencadangkan skim rasuah kepada kerajaan, rakyat dan negara,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Semalam Mohamed Azmin dilaporkan berkata, BR1M harus dihentikan kerana ia mempunyai unsur rasuah politik bagi mendapatkan sokongan rakyat.

Kata Timbalan Presiden PKR itu, berbanding pendekatan yang dilakukannya di Sela­ngor, rakyat tidak disogok dengan wang tunai sebaliknya diupaya melalui program dan dasar bagi mensejahterakan mereka.

Dalam wawancara bersama portal The Malaysian Insight sebelum itu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, bahawa BR1M akan dikurangkan sedikit demi sedikit sebelum dihapuskan dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, kerajaan Pakatan Harapan perlu bertanggungjawab kepada rakyat sekiranya mereka menganggap golongan berpendapatan rendah (B40) yang menerima manfaat daripada BR1M sebelum ini adalah penerima rasuah. - UTUSAN ONLINE