Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat perhubungan awam di Sydney, Australia bagi pihaknya, Jho Low berkata, pentadbiran Pakatan Harapan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengabaikan kedaulatan undang-undang dan salah tafsir Perlembagaan Persekutuan.

“Ia tidak lebih daripada kesinambungan perbicaraan oleh media dan tindak balas politik oleh pemerintahan Mahathir, Low kekal dengan pendirian tidak bersalahnya.

"Jelas bahawa Low tidak boleh mendapatkan perbicaraan yang adil di Malaysia, di mana pemerintah telah terbukti berkali-kali tidak mempunyai minat tentang kedaulatan undang-undang," katanya.

Kenyataan tersebut turut dilaporkan portal berita Free Malaysia Today dan Malaysiakini hari ini.

Mahkamah Majistret di sini hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low dan empat individu termasuk seorang wanita.

Difahamkan waran berkenaan dikeluarkan oleh mahkamah secara ‘in absentia’ iaitu tanpa ketidakhadiran tertuduh bagi membantu siasatan berhubung tuduhan pengubahan wang haram membabitkan skandal tersebut.

Selain Jho Low, empat individu terbabit dipercayai bekas peguam 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan, 45, bekas pengarah eksekutif, Casey Tang Keng Chee, 53, dua bekas pegawai 1MDB, Geh Choh Heng, 47, dan Eric Tan Kim Loong, 40.

Pada 24 Ogos lalu, Mahkamah Sesyen Putrajaya mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low dan bapanya, Tan Sri Low Hock Peng bagi membantu siasatan berhubung skandal 1MDB. - UTUSAN ONLINE