Eksekutif Pengurusan Jenama, Abdul Rahman Razali berkata, jerayawara pertama untuk mempromosikan #muhibah akan diadakan adalah di Kedah Ahad ini.

“Program selama sehari itu bertujuan memberi maklumat lebih terperinci kepada pengetua sekolah dan pihak Jabatan Pendidikan Negeri bagi menarik sekolah-sekolah di bawah mereka untuk menyertai Pertandingan yang memartabatkan dan meningkatkan penggunaan bahasa Malaysia itu.

“Setakat ini , lima lokasi dalam senarai untuk mempromosikan #muhibah dan lokasi kedua dijangka di Johor,” katanya.

Pertandingan yang terbuka kepada semua pelajar sekolah menengah di seluruh negara itu akan berlangsung selama setahun dengan keseluruhan hadiah berjumlah RM48,000.

Setiap bulan empat kategori pemenang akan dipilih berdasarkan empat kaum terbesar iaitu Melayu, Cina, India dan Sabah/Sarawak yang akan membawa pulang hadiah bulanan wang tunai RM1,000.

Jelas Rahman lagi, peserta perlu membuat video pendek bertemakan #muhibah tidak lebih dua minit dan menyediakan penerangan video tersebut dalam 50 hingga 100 patah perkataan.

“Pertandingan ini diharap dapat memupuk serta menjalin ukhuwah dan perpaduan yang berkonsepkan #muhibah.

“Peserta yang ingin menyertai hanya perlu mengikut dan menekan butang ‘like’ Utusan Online di Facebook, Twiter dan Instagram, dan menghantar video dan keterangannya di www.muhibah.my,” katanya.

Maklumat lanjut boleh diperolehi di www.utusan.com.my. - UTUSAN ONLINE