Sehubungan itu, beliau berkata Malaysia boleh memainkan peranan untuk mengadakan perbincangan dengan pihak Jepun untuk membantu kanak-kanak Rohingya yang berada di Malaysia.

“Walaupun Jepun tidak menyatakan dengan jelas apakah cadangan mereka tetapi Jepun menunjukkan minat dalam (bidang) pendidikan untuk kanak-kanak Rohingya di kem-kem di Cox’s Bazar, Bangladesh.

“Saya berpandangan Malaysia boleh meneruskan perbincangan dengan Jepun (bantuan pendidikan). Saya telah memberitahu Menteri Luar Jepun Taro Kono bahawa Malaysia sedang mencari kaedah terbaik untuk membantu anak-anak Rohingya di Malaysia tanpa menggunakan dana Malaysia.

“Kita percaya kaedah untuk membantu pendidikan anak-anak Rohingya di Malaysia adalah melalui pertubuhan masyarakat sivil (CSO). Sebagai kerajaan, kita boleh memudahkan untuk membantu CSO mendapatkan pembiayaan termasuk melalui dana antarabangsa,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Saifuddin sebelum itu mengadakan mesyuarat dua hala dengan Taro di luar Mesyuarat Menteri Luar Asean Ke-52 (AMM Ke-52) di sini hari ini. Menteri Luar Jepun itu berada di Bangkok untuk menghadiri Mesyuarat Menteri ASEAN-Jepun bersempena AMM ke-52.

Taro yang mengadakan lawatan kerja selama tiga hari ke Bangladesh Isnin lepas, telah meninjau kem Rohingya di selatan Cox Bazar, pada Selasa untuk melihat sendiri keadaan kem pelarian.

Saifuddin berkata Jepun turut melahirkan hasrat untuk melihat proses penghantaran pulang pelarian etnik Rohingya dari Bangladesh ke Myanmar mencapai kejayaan.

Myanmar dan Bangladesh telah menandatangani memorandum persefahaman mengenai penghantaran pulang pelarian Rohingya.

Bagaimanapun, kebimbangan berhubung keselamatan dan status kewarganegaraan menjadi punca pelarian enggan pulang.

Mengenai sama ada pemberian kad pengenalan diri kepada pelarian Rohingya akan mendorong mereka kembali ke Myanmar secara sukarela, Saifuddin berkata: “Nampaknya bagi pelarian Rohingya ini, kewarganegaraan mungkin isu yang paling penting bagi mereka”.

Menurut Amnesty International, lebih 750,000 pelarian Rohingya, kebanyakan wanita dan kanak-kanak, telah meninggalkan Myanmar dan menyeberang ke Bangladesh selepas tentera Myanmar melancarkan serangan terhadap masyarakat minoriti Islam pada Ogos 2017, mengakibatkan peningkatan mangsa penindasan di Bangladesh melebihi 1.2 juta. - BERNAMA