Istiadat pemakaman Almarhumah Hajah Khalsom diadakan separuh Istiadat Kemangkatan Diraja dan jenazah diusung turun melalui Tangga Agung pukul 10.15 pagi sebelum ditarik sebuah pedati khas membabitkan 40 Askar Timbalan Setia Negeri Johor dari Istana Besar sejauh 2.8 kilometer ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah di sini.

Jenazah Almarhumah bonda Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu akan dimakamkan sebaris dengan makam cucunda baginda, Almarhum Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim yang meninggal dunia akibat kanser pada 5 Disember 2015 sebelum waktu solat Zohor

Terdahulu orang ramai mula hadir di Istana Besar bermula pukul 8 pagi tadi bagi memberi penghormatan terakhir kepada bonda Sultan Johor itu di Dewan Singgahsana.

Bacaan Al-Quran juga diperdengarkan sepanjang masa sejak malam tadi.

Almarhumah mangkat pada pukul 7.55 malam (waktu London) di Hospital King Edward VII, London, 1 Jun lalu. - UTUSAN ONLINE