Anugerah tersebut disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang berkenan mencemar duli hadir ke majlis tersebut bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Yang hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Presiden GPMS, Zambri Mohd Isa.

Turut diberi penghargaan menerima anugerah tersebut ialah 10 tokoh lain yang telah menyumbang kepada pembangunan di dalam mahupun luar negara mengikut bidang masing-masing.

Mereka ialah Ketua Pegawai Warga Kerja Kumpulan CIMB Bank, Datuk Hamidah Naziadin; Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Zahrah Abd. Wahab Fenner; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akauntan Malaysia, Dr. Nurmazilah Mahzan; Pengarah Urusan Pharmaniaga Berhad, Datuk Farshila Emran dan Pengarah Akademi Sains Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr. Mazlan Othman.

Turut menerima anugerah sama ialah Perunding Kanan Kardiologi, Institut Jantung Negara (IJN), Tan Sri Dr. Robaayah Zambahari; jaguh boling negara, Shalin Zulkifli; Ketua Pegawai Eksekutif Exxim Bank, Norzilah Mohammed; Pengarah Pusat Perubatan Prince Court Pusat Lasik Mata, Datuk Profesor Dr. Muhaya Mohamad dan pengkaji seni budaya Melayu, Profesor Siti Zainon Ismail.

Sementara itu, ujar Zambri, Anugerah Tokoh Srikandi 2018 merupakan kali kedua dianjurkan selepas kali pertama pada 2014.

“Bersempena ulang tahun ke-70 penubuhan GPMS, seluruh kepimpinan GPMS begitu teruja untuk mengadakan Anugerah Tokoh Srikandi buat kali kedua pada tahun ini.

“Anugerah Tokoh Srikandi ini pertama kali diadakan pada 2014 dan penerima Anugerah Tokoh Khas Srikandi 2014 adalah Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali yang juga salah seorang pengasas GPMS,” katanya.

Tambahnya lagi, semua wanita di negara ini mempunyai peranan yang besar bukan sahaja kepada keluarga dan komuniti malah mereka juga terlibat secara langsung dalam membangunkan Malaysia.

“Mana mungkin negara ini mampu ditegakkan sebegini indah tanpa peranan wanita maka benarlah kata-kata pujangga ‘tangan yang menghayun buaian boleh menggoncangkan Dunia.’

“Tetapi hari ini wanita bukan sahaja memegang buaian malah sudah diangkat martabatnya menjadi pemimpin nombor dua negara iaitu Timbalan Perdana Menteri,” katanya. - UTUSAN ONLINE

Penerima Anugerah Tokoh Srikandi 2018
1. Pengasas Mercy Malaysia, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood (Kategori Kemasyarakatan)
2. Pengkaji seni budaya, Profesor Siti Zainon Ismail (Kategori Kesenian)
3. Ketua Pegawai Warga Kerja Kumpulan CIMB Bank, Datuk Hamidah Naziadin (Kategori Kewangan)
4. Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Abd. Wahab Fenner (Kategori Pentadbiran Awam)
5. Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akauntan Malaysia, Dr. Nurmazilah Mahzan (Kategori Profesional)
6. Pengarah Urusan Pharmaniaga Berhad, Datuk Farahila Emran (Kategori Korporat)
7. Ketua Pegawai Eksekutif Exxim Bank, Norzilah Mohammed (Kategori Perbankan)
8. Pemain boling profesional, Shalin Zulkifli (Kategori Sukan)
9. Naib Canselor USM, Datuk Dr. Asma Ismail (Kategori Pendidikan)
10.Perunding Kanan Kardiologi IJN, Tan Sri Dr. Robaayah Zambahari (Kategori Perubatan)
11.Pengarah Pusat Perubatan Prince Court Pusat Lasik Mata, Datuk Profesor Dr. Muhaya Mohamad (Kategori Dakwah dan Islamiah)
12. Pengarah Akademi Sains Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr. Mazlan Othman (Kategori Sains)