Bas pertama membawa jemaah bertolak pukul 8.30 pagi dan kesemua mereka dijangka berada di Arafah menjelang waktu isyak (8.19 malam ini) atau tengah malam ini bergantung kepada kesesakan lalu lintas.

Wukuf bermula dari tempoh gelincir matahari 9 Zulhijah (Isnin) sehingga sebelum terbit fajar 10 Zulhijah.

Kesemua jemaah dibawa dengan 264 buah bas iaitu 22 buah bas bagi setiap maktab dengan setiap bas melakukan tiga trip perjalanan.

Tahun ini jemaah bergerak lebih awal iaitu pada pukul 8.30 pagi berikutan penambahbaikan dibuat oleh Muassasah Asia Tenggara menyediakan pendingin hawa di khemah Malaysia bagi menghadapi suhu panas Arafah.

Musim haji ini, seramai 50 warga emas dan kurang upaya dipilih menyertai program perkhidmatan ‘satu petugas satu jemaah’ sepanjang tempoh masyair.

Bagi jemaah yang uzur dan sakit, pasukan perubatan menyediakan tujuh bas Safari Wukuf bagi membawa mereka berwukuf di Arafah.