Doa yang dibacakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan diaminkan jemaah haji di sini, turut memohon agar Malaysia serta pemimpinnya di­lindungi dari segala keburukan dan keaiban.

“Hindarilah kami dari segala kemungkaran dan kemaksiatan serta pimpinlah kami sekalian ke jalan yang Engkau redai buat selama-lamanya,” katanya sewaktu membacakan doa selepas me­nyampaikan khutbah Arafah pada hari wukuf di sini.

Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Zainol Rahim Zainuddin; Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah; Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438 Hijrah, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan beberapa Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji.
Dalam doa itu juga, jemaah haji memohon agar kehidupan rakyat Malaysia dan pemimpinnya dikurniakan sifat terpuji.

“Hiasilah diri kami dengan akhlak kesopanan yang tinggi, tanamkanlah ke dalam jiwa kami rasa rendah diri,” katanya.

Dalam doa yang dibaca itu juga, rakyat Malaysia menyatakan kesyukuran di atas nikmat pembangunan dan kemerdekaan Malaysia.

“Kekalkanlah pembangunan yang telah kami laksanakan sama ada yang berbentuk material atau spiritual. Martabatkanlah nega­ra kami dan seluruh rakyat de­ngan kemuliaan di sisimu Allah,” ujarnya.

Jemaah haji Malaysia turut bersyukur dengan kemajuan yang diperoleh hasil kemerdekaan dan kebijaksanaan pemimpin yang dianugerahkan oleh Allah.

“Kurniakanlah kami dengan hikmah dan kebijaksanaan serta ketajaman fikiran agar kami (rakyat) dapat terus berbakti kepada agama, bangsa dan negara,” ujar Asyraf Wajdi dalam doa itu.

Terdahulu, khutbah Arafah telah disampaikan di salah satu maktab perkhemahan jemaah haji Malaysia.

Khutbah Arafah dibacakan se­rentak oleh beberapa tokoh agama di 14 maktab perkhemahan pada hari wukuf.

Kemuncak wukuf bermula selepas zuhur hari ini dan berakhir menjelang maghrib. – UTUSAN