Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, antara perkara yang perlu dijelaskan ialah pihak mana yang akan mengukur serta memantau prestasi menteri dan apa tindakan susulan yang akan diambil jika prestasi menteri tidak mencapai sasaran.

Kata beliau, mekanisme pemantauan tersebut tidak sepatutnya bersifat menyembunyikan kelemahan dan bertujuan merasionalkan prestasi buruk kerajaan.

“Jika menteri tidak mencapai standard, adakah Perdana Menteri akan mengambil tindakan dengan menggugurkan menteri tersebut? Atau adakah Perdana Menteri akan meminta rakyat memberi lebih masa kepada menteri atau mendakwa manifesto hanya sebagai panduan, bukan kitab suci?

“Mekanisme pemantauan ini perlu ada tindakan susulan dan tidak boleh menjadi satu lagi tindakan menutup keburukan untuk meredakan buat sementara ketidakpuasan hati rakyat terhadap kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut portal rasmi Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (Mampu), kertas cadangan mekanis MPI telah dibentangkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 5 Mac lalu.

Tambah Dominic lagi, MPI dapat membantu menteri supaya lebih berhati-hati dalam membuat dasar kerana rekod Pakatan Harapan (PH) ketika ini terlalu banyak membuat pusingan-U dari segi pembuatan dasar.

“Gerakan juga akan menerbitkan laporan suku tahunan untuk memantau dan menilai polisi kerajaan PH supaya rakyat dapat lebih memahami polisi tersebut.

“Kami akan menilai polisi yang diumumkan serta memainkan peranan semak dan imbang kepada kerajaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE