Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua kes adalah kes sporadik dan tiada wabak JE dilaporkan.

Daripada jumlah 15 kes JE yang dilaporkan, jelas beliau, empat kes adalah dari negeri Sabah iaitu masing-masing satu kes di daerah Manggatal, Ranau, Papar dan Tambunan.

“Tiada tren peningkatan kes dikesan di negeri Sabah di mana bagi tempoh yang sama pada tahun 2018, sebanyak lima kes JE telah dilaporkan di negeri Sabah. Situasi kes JE di negara ini termasuk Sabah dipantau dengan rapi di peringkat kementerian dan Jabatan Kesihatan negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan portal Free Malaysia Today (FMT) bertajuk ‘Sabah Minister confirms JE virus found in pig’ dan The Star Online bertajuk ‘JE virus detected in pig farm in Tambunan’, semalam.

Menurut Dr. Noor Hisham, seperti dilaporkan, kes terbaharu di daerah Tambunan dilaporkan pada 12 Julai 2019 melibatkan seorang lelaki dewasa berumur 20 tahun.

Jelasnya, lelaki terbabit telah dimasukkan ke Hospital Keningau pada 8 Julai lalu dan kini masih menerima rawatan di wad perubatan hospital terbabit, manakala kes JE yang dilaporkan melibatkan kanak-kanak berumur tujuh tahun dari Taman Sentoria, Kota Samarahan, Sarawak merupakan kes yang dilaporkan pada tahun 2017 dan disahkan bukan kes JE.

Dr. Noor Hisham berkata, JE merupakan sejenis penyakit bawaan vektor disebabkan oleh flavivirus yang boleh mengakibatkan gejala ‘viral encephalitis’.

“Kebanyakan negara di Asia seperti India, Thailand, Filipina, Cambodia, Vietnam termasuk Malaysia merupakan negara endemik JE. Khinzir dan burung liar merupakan ‘natural reservoir’ bagi virus ini dan ia boleh disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Culex.

“Walau bagaimanapun, manusia merupakan ‘dead-end host’ di mana transmisi jangkitan tidak boleh berlaku daripada seorang individu kepada individu yang lain,” jelasnya.

Tambah beliau, tanda-tanda dan gejala JE adalah seperti demam, sakit kepala, loya, muntah, perubahan keadaan mental, gejala neurologi, lemah dan gangguan pada pergerakan.

“Bagi individu yang mengalami tanda-tanda tersebut perlu berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan segera. Selain itu, amalan perlindungan diri seperti penggunaan repelen dan memakai pakaian cerah yang menutup anggota dapat mengurangkan risiko gigitan nyamuk,” nasihat beliau. - UTUSAN ONLINE