JCorp dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pengurusan berlandaskan prinsip tersebut juga telah membantu pencapaian prestasi kewangan dan pelunasan obligasi mereka seperti dijadualkan selama ini.

Menurut JCorp, sebagai sebuah institusi pembangunan ekonomi yang diwujudkan untuk memberi impak ekonomi dan sosio-ekonomi Johor khasnya dan Malaysia amnya, pihaknya mengguna pakai pendekatan bisnes yang memerlukan konglomerat itu mendapatkan kemudahan kredit dari semasa ke semasa.

“Sama ada untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan di dalam kumpulan dengan bertujuan untuk menarik pelaburan asing dan domestik, membangunkan infrastruktur, mewujudkan peluang pekerjaan, pembangunan sumber manusia, masyarakat dan juga perlindungan alam sekitar,” demikian menurut kenyataan itu.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian selepas menutup Konvensyen Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, di sini pada 17 November lalu berkata, kerajaan negeri merancang melakukan proses pengauditan forensik ke atas semua GLC negeri ini.

Beliau yang juga Pengerusi JCorp memberitahu, sebuah firma audit bebas dari luar akan digunakan bagi melakukan kerja-kerja audit untuk mengesan sebarang salah guna kuasa serta penyelewengan dalam urus tadbir syarikat GLC yang diberi tumpuan seperti JCorp dan YPJ Holdings.

JCorp yakin dengan tahap pencapaian kewangan yang dilaporkan dalam Laporan Tahunan setiap tahun, mereka mempunyai lebihan aset bersih sama ada bagi jangka pendek mahupun jangka panjang.

“Ini menunjukkan JCorp berkemampuan melunaskan semua obligasi mengikut jadual ditetapkan menerusi rancangan ‘zero gearing’ atau sifar hutang yang sudah termaktub dalam Perancangan Strategik JCorp 2012-2022 yang telah diluluskan oleh Ahli Lembaga Pengarahnya,” demikian menurut kenyataan itu.

Laporan Penyata Kewangan Tahunan JCorp juga telah diaudit oleh firma audit bertauliah dan seterusnya diperakukan oleh Ketua Audit Negara selain mereka turut mendapat rating tertinggi bagi Indeks Akauntabiliti daripada jabatan tersebut. - UTUSAN ONLINE