Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menerusi satu kenyataannya di sini, hari ini memberitahu, Malaysia dan Turkmenistan juga bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa termasuk situasi kaum minoriti Rohingya di Myanmar dan keadaan di Timur Tengah, Afghanistan dan Palestin.

Anifah memberitahu demikian berdasarkan hasil lawatan rasminya ke negara tersebut pada 10 dan 11 Januari, baru-baru ini dan dalam lawatan rasmi tersebut, Anifah turut mengunjungi Presiden Gurbanguly Berdimuhamedov di Presidential Palace.

Hasil mesyuarat dengan rakan sejawatnya, Rashid Meredov, mencerminkan pemahaman dan pandangan yang dikongsi bersama dalam memupuk hubungan yang erat di antara Malaysia dan Turkmenistan.

Memetik kenyataan yang sama, kerjasama komprehensif dalam bidang perdagangan dan pelaburan, industri minyak dan gas, pendidkan, kebudayaan dan pelancongan serta pengangkutan merupakan perkara yang dibincangkan.

Selain itu, isu kepentingan serantau dan antarabangsa serta kepentingan hubungan sesama insan yang dapat menyumbang secara positif bagi kedua-dua negara turut dibincangkan.

Hasil daripada lawatan rasmi Menteri Luar negara, Presiden Turkmenistan menyampaikan rasa penghargaan terhadap penglibatan berterusan Malaysia dalam sektor minyak dan gas di negara tersebut.

Sebagai balasan, Anifah menyampaikan ucapan terima kasih kepada Presiden dan pihak kerajaan Turkmenistan di atas peluang yang diberikan kepada PETRONAS.

Malaysia dan Turkmenistan, ujar Anifah, juga akan terus bekerjasama bagi membangunkan bidang baharu untuk kepentingan kedua-dua pihak.

Semasa lawatan rasmi tersebut, Anifah telah menyampaikan ceramah mengenai Dasar Luar Negara Malaysia dan hubungan dua hala Malaysia-Turkmenistan di Institute of International Relations of the Ministry of Foreign Affairs Turkmenistan kepada para pensyarah, pelajar institut dan diplomat muda Turkmenistan.

Lawatan rasmi oleh Menteri Luar Malaysia ke Turkmenistan telah berjaya meletakkan asas kukuh untuk kerjasama yang lebih erat di antara kedua-dua negara sejak lawatan terakhir Anifah ke Turkmenistan pada 12 Disember 2015. - UTUSAN ONLINE