Ketua Pengarah JBPM, Mohammad Hamdan Wahid berkata, dua perkara penting yang akan diberi penekanan terhadap pemilik bangunan warisan adalah kaedah penyelamatan diri ketika berlaku kebakaran dan langkah-langkah untuk mengesan kebakaran lebih awal agar dipatuhi.

Menurutnya, setakat ini kerjasama diterima semua pemilik bangunan warisan di negara ini amat positif namun pihaknya sedar pengusaha memerlukan kos tinggi termasuk bajet daripada Kementerian Kewangan untuk membuat sebarang penambahbaikan atau naik taraf peralatan keselamatan.

"Kita faham banyak kerja pengubahsuaian khususnya melibatkan bangunan warisan yang sudah lama perlu dibuat dan memerlukan bajet, adakalanya pemilik termasuk bangunan-bangunan kerajaan mereka kena merujuk kepada Kementerian Kewangan.

"Undang-undang kita (peraturan keselamatan) tidak kenal siapa, semua bangunan termasuk bangunan kerajaan perlu mematuhi tahap keselamatan kebakaran dan walaupun ia mengambil masa lama, dalam tempoh itu kita meminta pemilik bangunan memastikan langkah keselamatan dipatuhi daripada segi pencegahan dan apa-apa bahaya yang perlu diawasi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Keselamatan Kebakaran bertemakan `Bersama Mencegah Kebakaran' anjuran JPBM negeri di pusat beli-belah Mahkota Parade, Banda Hilir di sini sebentar tadi. Yang turut hadir, Pengarah JBPM negeri, Kamarulzaman Malik Abdullah.

Sementara itu, Mohammad Wahid berkata, JBPM Melaka telah memeriksa sejumlah 285 bangunan daripada 294 permohonan sijil perakuan bomba (FC) sepanjang tahun lalu manakala sepanjang Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 133 bangunan telah diperiksa daripada 161 permohonan FC.

Menurut beliau, sepanjang tahun lalu juga, sebanyak 971 pemeriksaan menghapus bahaya kebakaran (MBK) telah dibuat di negeri ini melibatkan semua premis berdasarkan aduan dan pemeriksaan berkala dan daripada jumlah itu, sebanyak 11 pengusaha bangunan atau premis telah dikenakan tindakan pendakwaan kerana gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

"Bagi enam bulan pertama tahun ini pula, sebanyak 322 pemeriksaan MBK telah dibuat dan dua daripada pemilik telah didakwa kerana tidak mematuhi peraturan," katanya. - UTUSAN ONLINE