Bomba
 

Pengarahnya, Azmi Othman berkata berdasarkan rekod jabatannya, daripada 285 pusat tahfiz yang telah diperiksa dan diberi penerangan, hanya 45 pusat tahfiz telah mengambil inisiatif menubuhkan skuad berkenaan.

Beliau berkata mengikut perkiraannya, setiap pusat tahfiz di Selangor telah dilawati sebanyak dua atau tiga kali oleh anggotanya bagi tujuan pemeriksaan keselamatan dan pemeriksaan susulan.

"Seperti contoh, di Shah Alam ada 43 pusat tahfiz dan hanya sebuah pusat tahfiz mempunyai skuad bomba tahfiz, di Hulu Selangor ada 51 pusat tahfiz tetapi sebuah sahaja yang tubuhkan skuad ini manakala di selatan Selangor, ada 36 pusat tahfiz tetapi tiada satu pun mengambil berat terhadap cadangan ini.


"Penubuhan skuad bomba tahfiz ini tidak memerlukan sebarang perbelanjaan, pihak kami akan ke sana dan melatih pelajar pusat tahfiz ini bagaimana menggunakan alat pemadam api dan langkah keselamatan yang lain," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan JBPM Selangor di sini hari ini.

Jelas Azmi lagi, latihan ini adalah sebagai langkah awal yang boleh diambil pelajar pusat tahfiz sekiranya berlaku kebakaran.

Penubuhan Skuad Bomba Tahfiz digalakkan susulan beberapa kejadian kebakaran melibatkan sekolah agama persendirian dan maahad tahfiz di seluruh negara.

Ini termasuk kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat yang mengorbankan nyawa 21 pelajar dan dua guru pada 14 Sept tahun lepas. - BERNAMA