Pengarah Bomba negeri, Nazili Mahmood berkata, Kelab 3K itu mendapat kerjasama daripada Jabatan Pendidikan negeri dan ahlinya kini merupakan 17,000 murid di 401 prasekolah di seluruh negeri ini.

Menurutnya, kelab itu diadakan bertujuan untuk memberi maklumat dan kesedaran mengenai pencegahan kebakaran dan penyelamatan di sekolah kepada golongan kanak kanak dalam satu silibus.

"Guru akan diberikan pendedahan dan ilmu untuk kendalikan modul. Satu modul merangkumi masa selama 20 jam dalam tempoh satu tahun.

"Setiap guru diberi kebebasan untuk kendalikan kelab mereka selain akan dijadikan aktiviti mingguan,” katanya kepada pemberita dalam Program Guru Kelab 3K Peringkat Negeri Kelantan, di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bok, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Pendidikan negeri, Abdullah Mat.

Antara aktiviti yang dijalankan dalam satu modul adalah taklimat dan ceramah keselamatan kebakaran; kaedah penggunaan alat pengesan asap dan cara pengunaan alat pemadam api. - UTUSAN ONLINE