Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, setakat ini, masih terlalu awal untuk memperkatakan tentang perkara itu memandangkan SST baru sahaja dilaksanakan.

“Dalam menghadapi SST ini kita (Kementerian Pertanian dan Asas Tani) harus buat perbincangan dengan semua kementerian berkaitan, termasuk Kementerian Kewangan menerusi satu jawatankuasa khas.

“Untuk itu kita tidak boleh komen dulu. Biar jawatankuasa ini berbincang dan bermesyuarat dulu dan selepas itu, mereka akan keluarkan kenyataan rasmi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Medan Warisan Makanan dan Agrotrak Kelantan di Dataran Bandaraya, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, selain mengkaji impak SST, jawatankuasa terbabit juga akan mencari jalan bagaimana meringankan beban rakyat.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, kementerian sudah membuat persiapan rapi bagi menghadapi kemungkinan kekurangan bekalan ikan sepanjang musim tengkujuh termasuk merancang mengimportnya dari luar negara.

Mengulas mengenai Medan Warisan Makanan dan Agrotrak Kelantan, Salahuddin berkata, program pusat sehenti makanan popular di negeri ini tersebut merupakan inisiatif terbaharu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi membantu usahawan muda.

Katanya, bagi menjayakan program itu, FAMA menjalinkan kerjasama erat dengan Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan sebagai permulaan, sebanyak 40 gerai menjual pelbagai jenis makanan dan produk pertanian telah dibuka.

“FAMA berjaya mewujudkan satu model medan perniagaan di tengah bandar Kota Bharu yang sistematik, bersih dan menarik. Kita harap FAMA juga dapat berkerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain bagi mewujudkan perkara sama di seluruh negara,” katanya. - UTUSAN ONLINE