Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S.Veerapan berkata, daripada jumlah itu 12 kes telah selesai dijatuhkan hukuman manakala enam kes di peringkat sebutan dan satu kes masih dalam siasatan.

“Mengikut peruntukan akta berkenaan, 11 kes merupakan kesalahan di bawah Seksyen 25(1) iaitu melepaskan efluen perindustrian melebihi had ditetapkan.

“Lima kes direkodkan di bawah Seksyen 16(1) iaitu tidak memenuhi syarat-syarat lesen oleh kilang premis yang ditetapkan merangkumi kilang kelapa sawit, getah serta yang menjalankan proses kitar semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Seminar Pematuhan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Hala Tuju Pengurusan Alam Sekitar Melalui Pematuhan Kendiri, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah JAS negeri, Norhazni Mat Sari.

Mengulas lanjut Veerapan berkata, terdapat juga satu kes direkodkan mengikut Seksyen 22(1) akta sama yang melakukan kesalahan melepaskan asap hitam dari kenderaan enjin diesel melebihi had.

“Satu kes lagi direkodkan di bawah Seksyen 31(1) akta sama kerana melanggar syarat-syarat notis yang dikeluarkan oleh JAS.

“Kes terakhir merupakan kesalahan di bawah Seksyen 29A(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu membenarkan pembakaran terbuka dilakukan di premis pesalah,” katanya. - UTUSAN ONLINE