Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, beliau terkejut dan memandang berat perkara itu kerana menganggap ia sebagai agak memalukan apabila ia didedahkan oleh agensi berita dari United Kingdom (UK).

“Saya terkejut sebab saya tidak tahu macam mana ia boleh masuk ke negara kita kerana saya pun menerima maklumat mengenai perkara ini malam tadi melalui laporan media.

“Oleh itu, saya telah mengarahkan JAS untuk menyiasat perkara ini. Saya percaya mereka juga akan bertanyakan kepada pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan walaupun pihak berkuasa tempatan (PBT) bukan di bawah saya, saya akan pastikan agensi-agensi kerajaan negeri dapat bekerjasama untuk melihat punca bagaimana lambakan itu boleh berlaku di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai program memasak bubur lambuk peringkat Jabatan Pendidikan Perak dan turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Mohd Rosli Ahmad di sini hari ini.

Abdul Aziz diminta mengulas mengenai penemuan timbunan pembuangan sampah plastik tersebut

setinggi mencecah enam meter yang ditemukan oleh cef selebriti, Hugh Fearnley-Whittingstall dan disiarkan dalam dokumentari BBC.

Sementara itu, Pengarah JAS negeri, Norazizi Adinan berkata, laporan berkenaan tidak tepat kerana sisa plastik yang dimaksudkan itu berada dalam satu premis pemprosesan kitar semula di Kawasan Perindustrian IGB, Tasek di sini.

Menurut beliau, premis berkenaan beroperasi secara sah dan dilesenkan oleh MBI selain dipantau pihaknya bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Kilang berkenaan tidak melakukan kesalahan kerana mempunyai lesen yang sah dari MBI dan telah mematuhi perundangan JAS serta dipantau secara berkala dan dekat.

“Sekiranya terdapat sebarang pelanggaran di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, tindakan perundangan akan diambil,” katanya. - UTUSAN ONLINE