Beliau juga berjanji akan memberikan keadilan kepada semua pihak sama ada kontraktor lama atau baharu dalam urusan tender dan projek di DBKL.

"Saya kira, inilah antara tujuan saya dipilih dan dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan. Mereka ini sedang kepanasan ekoran apa yang sedang kita lakukan di DBKL," katanya kepada pemberita selepas menghadiri `Luncheon Talk' sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019 di Menara Sri Wilayah, Kementerian Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Saripuddin Kasim; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Ketua Pengarah PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa), Datuk TPr. Rokibah Abdul Latif.

Khalid mengulas isu senarai syarikat yang berjaya mendapat tender DBKL dilaporkan tular di media sosial meskipun pemilihan telah dijalankan beberapa kali, termasuk pemakluman syarikat berjaya dibuat melalui panggilan telefon.

Mengulas perkara sama, Nor Hisham berkata, seramai kira-kira 20 kakitangan dan pegawai DBKL di Bahagian Perolehan telah ditukar ke unit lain dan ada yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam perkembangan lain Khalid memberitahu, nama baharu Kementerian Wilayah Persekutuan akan diumumkan selepas mendapat persetujuan Kabinet.

Beliau berkata, pihaknya perlu mendapatkan pandangan daripada menteri-menteri Kabinet yang lain agar nama baharu Kementerian Wilayah Persekutuan itu kelak menggambarkan peranan kementerian yang lebih meluas selaras dengan penyertaan PLANMalaysia dan Jabatan Landskap Negara dan agensi lain di kementerian itu.

"Nama kita dah ada, tapi nak rasminya dengan mendapatkan kelulusan Kabinet. Mungkin perlu mendapat pandangan daripada menteri-menteri," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Khalid berkata, satu kumpulan pakar perbandaran atau pusat kecemerlangan berkaitan perancangan dan perbandaran perlu diwujudkan.

"Sesuatu isu perancangan dan perbandaran hendaklah dilihat dengan jelas dari segi outcome yang ingin dicapai dan berasaskan evidence-based. Sehubungan itu, data dan maklumat bersepadu adalah amat penting untuk membantu perancang bandar," katanya.

Beliau turut menyarankan DBKL yang dilihat sebagai peneraju dalam perancangan bandar di Kuala Lumpur dan negara, berkongsi pengalaman dengan Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT) yang lain supaya isu-isu perbandaran dapat ditangani dengan berkesan. - UTUSAN ONLINE