Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, bahawa Sistem Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) itu juga dijangka mampu menjana sekitar 130,000 peluang pekerjaan baharu.

"Ia selanjutnya akan menjana dan menyumbang kepada Pendapatan Negara Kasar antara RM3 bilion dan RM4 bilion setahun, hasil daripada industri pembinaan dan operasi MRT dari 2011 hingga 2020," katanya dalam artikel yang dimuatkan dalam Laporan Tahunan 2016 Program Transformasi Negara.

Selain memperbaiki sistem perhubungan dan merangsang pertumbuhan ekonomi, projek MRT dijangka membawa pelbagai manfaat lain seperti peningkatan tahap produktiviti serta mutu kehidupan bertambah baik.

"Sebagai contoh, oleh kerana tempoh masa perjalanan dapat dikurangkan kerana pengguna tidak lagi menghadapi isu kesesakan lalu lintas, tahap produktiviti dijangka meningkat 280 juta jam setahun. Ini dapat ditafsirkan kepada hasil RM20 bilion setahun dari segi kos penjimatan masa," jelas Shahril.

Dalam mengendalikan projek itu, MRT Corp melaksanakan standard penjagaan keselamatan yang tinggi di tapak pembinaan selain Rancangan Pengurusan Trafik dan program kesedaran kepada orang awam.

Shahril berharap projek MRT menjadi penanda aras khususnya dari aspek pengurusan dan pelaksanaan projek selain isu integriti dan aspek pentadbiran yang efisien dan cemerlang.

Menurutnya, projek MRT dibiayai dana rakyat dan oleh itu, amatlah penting untuk mengekalkan tahap ketelusan tinggi setiap masa. "Bagi projek MRT, bukti kejayaan MRT Corp terletak pada pelaksanaan projek menepati masa, penggunaan peruntukan seperti yang ditetapkan dan kelancaran operasi sistem landasan kereta api," tambahnya. - Bernama