Menteri Pertahanan, Moha­mad Sabu berkata, kumpulan itu sengaja menggunakan cara sentimen untuk muncul dan ‘bangun’ segera sekali gus menghindar daripada isu penyelewengan harta yang dilakukan oleh pemimpin mereka.

“Kita (Pakatan Harapan - PH) baru mengambil alih peme­rintahan enam bulan, jadi apa yang boleh membantu ‘mereka’ segera untuk bangun? tidak lain, tidak bukan adalah isu perkauman dan keagamaan.

“Ceramah paling mudah (bangkit sentimen) adalah hujah perkauman dan sebab itu kita kena berjaga-jaga, sentiasa berhujah biar berilmu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan majlis Konvensyen Parti Ama­nah Negara (Amanah) Peringkat Sabah di sini, hari ini.

Katanya, rakyat Malaysia perlu mengambil iktibar kesan akibat sentimen yang berlaku di beberapa negara Islam yang kini hancur termasuk di Syria, Libya, Iraq, Somalia dan Afghanistan.

Berkongsi perkara itu, Mohamad sekadar mahu menye­darkan bahawa isu kuil di Se­langor yang berlaku baru-baru ini bukan berkaitan isu perkauman dan perkara tersebut boleh diselesaikan dengan cara baik serta rundingan tetapi terdapat pihak mengambil kesempatan menye­marakkan semangat perkauman­.

Sementara itu, katanya, pe­mimpin dalam PH diharap dapat telus dan jujur dengan rak­yat sebagai usaha memenangi hati akar umbi.

“Pemimpin peringkat negeri dan pusat sekarang jangan buat begitu (seperti kerajaan lama banyak isu penyelewengan) kita bila kita kerajaan tidak ada duit, ceramah (jelaskan) dengan rakyat, rakyat boleh terima.

“(Cara ini kita guna) sebab itu kita menang empat pilihan raya sebelum ini di Sungai Kandis, Balakong, Port Dickson dan Seri Setia,” katanya yang turut yakin PH akan menang sekiranya ada pilihan raya lagi di Rantau dan Cameron Highlands.

Dalam pada itu, Mohamad mengingatkan semua anggota PH tidak mendabik dada de­ngan kemenangan pada pilihan raya lalu sebalik­nya terus kukuh bersatu antara sesama parti iaitu PKR, DAP, Amanah, Bersatu serta Parti Warisan Sabah.

“BN yang begitu kuat kita lihat, tetapi bila satu cabangnya mula lemah, akhirnya kalah dengan MIC lemah pada 2008 kemudian MCA dan tinggal UMNO,” katanya dan menambah dalam PH perbezaan pandangan akan dibincangkan dalam mesyuarat. – BERNAMA