Isteri Perdana Menteri merangkap Penaung Permata, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, beliau kesal apabila ada pihak yang suka mempolitikkan dan menjadikan apa juga berkaitan Permata sebagai isu yang kurang sihat.

“Bila sebut sahaja peruntukan untuk Per­­­­mata di Parlimen, mereka politikkan dengan me­rujuk kepentingannya adalah untuk isteri Perdana Menteri.

“Sedangkan program Permata ini bukan untuk saya tetapi faedahnya untuk semua, ter­utamanya kanak-kanak dari latar belakang keluarga yang kurang berada. Untuk saya mengambil sebarang kepentingan dan ma­sukkan ke dalam beg tangan saya tidak sekali-kali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Seminar Jenayah Seksual Kanak-kanak: Hentikan!!! di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Rosmah menambah, apa yang dilakukan oleh Permata dan semua agensi yang terlibat terutamanya dalam menjayakan seminar itu turut mendapat pengiktirafan dari pihak luar termasuk Permaisuri Silvia dari Sweden.

Menurut beliau, sesetengah negara mempunyai undang-undang yang lengkap termasuk bagi menangani jenayah seksual kanak-kanak tetapi sekadar undang-undang yang tidak diguna pakai dan tanpa sebarang kempen-kempen kesedaran.

“Berbeza dengan Malaysia, kita serius berjuang dari segala aspek undang-undang, kempen dan pendidikan bagi memastikan kanak-kanak terlindung,” katanya.

Menurutnya, beliau berharap usaha-usaha membanteras jenayah seksual ini dapat diteruskan dengan lebih berkesan sebagai langkah pasca seminar.

Rosmah juga berharap semua pihak menyokong Rang Undang-undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017 yang bakal dibentang dalam sidang Dewan Rakyat kali ini.

“Jika ada pihak yang masih tidak menyokong, seperti ada yang tidak kena pada mereka,” katanya.