Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri  Mokhtar yakin di sebalik kecaman dan tohmahan yang mula dilemparkan kerana tidak menyenangi keputusan dalam perundangan syariah itu, langkah serupa akan turut dilaksanakan di negeri-negeri lain kelak dan masyarakat umumnya dapat menerima.

Beliau mengulangi bahawa hukuman itu bukan untuk menganiaya, sebaliknya bertujuan membendung gejala Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) yang bertentangan dengan agama dan fitrah manusia daripada terus menular.

"Kita tidak dapat menghalang sekiranya ada golongan yang tidak berpuas hati dengan hukuman tersebut kerana dalam apa sahaja  isu, mesti ada pihak yang tidak berpuas hati.

"Tetapi kita percaya apabila mereka melhat sendiri apa yang dipraktikkan, bagaimana bentuk hukuman dijalankan dengan fikiran terbuka,  mereka boleh menerima sambil melihat keindahan di sebaliknya berbanding dengan kaedah sivil yang tentunya berbeza bentuk pelaksanaannya.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT)  menyatakan demikian kepada penberita selepas Majlis Kesyukuran meraikan pasukan Piala Presiden TFC 111 dan Piala Belia TFC IV, di sini petang tadi.

Dr. Ahmad Samsuri berkata, pelaksanaan hukuman yang dirintis akan mengambil masa untuk seluruh masyarakat memahami dan menerimanya.

Namun akhirnya beliau percaya mereka akan dapat melihat objektifnya dengan mata hati, ilmu dan kefahaman, bukan lagi dengan emosi. - UTUSAN ONLINE