Aminuddin Harun

Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, golongan kaya yang mendapat manfaat daripada kemakmuran negara selama ini wajar berkorban dalam me­ngatasi kemelut ekonomi ketika ini.

“Saya masih tak tahu bentuk cukai yang dikatakan itu tetapi banyak cukai yang boleh diper­kenalkan. Contohnya cukai kepada individu yang membuat kekayaan. Tetapi negara kita tidak laksanakan cukai seperti itu dan orang kaya terus senang untuk mendapat duit.

“Sebab itu kita harap cukai itu hanya libatkan mereka yang kaya-raya di negara ini. Inilah peluang mereka berkorban untuk negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, beliau yakin Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan mengambil kira nasib golo­ngan perte­ngahan dan rendah dalam pelaksanaan cukai tersebut dan berharap ia tidak akan membebankan mereka.

Cukai baharu yang bakal diperkenalkan kerajaan menerusi pembentangan Bajet 2019 bulan depan harus memberi penekanan terhadap mereka yang berpendapatan tinggi, bukannya golongan sederhana atau miskin.

Langkah itu bagi memboleh­kan mereka yang kaya membantu kerajaan dalam menyediakan golo­ngan isi rumah berpendapatan rendah (B40) serta pertengahan (M40) menikmati kualiti hi­dup yang lebih baik.

Pengerusi Pusat Pengajian Dasar Awam Institut Strategi dan Kepemimpinan Asia (ASLI), Tan Sri Dr. Ramon Navaratnam berkata, cukai wajar dikenakan ke atas orang yang mampu membayarnya seperti orang kaya dan bukan kelas menengah atau golongan miskin.