Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, penunggang motosikal dikesan kerap melakukan kesalahan itu dan tindakan tersebut bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah orang lain.

Katanya, JPJ Melaka sempat merakamkan tindakan segelintir penunggang motosikal semasa mengadakan operasi sempena Tahun Baharu Cina baru-baru ini dan kesal dengan perbuatan tersebut.

“Kadang-kadang kita hairan ada penunggang yang tidak melakukan apa-apa kesalahan tapi tetap cuba mengelak daripada diperiksa dalam sekatan jalan raya.

“Kita mahu pengguna kenderaan buang persepsi takut apabila berhadapan dengan sekatan jalan raya, tiada apa yang perlu dibimbangkan jika tidak bersalah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program penutup operasi sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2019 di Pejabat JPJ negeri di Bukit Katil di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah JPJ negeri, Mohammad Afdhal Mohd. Ruslan dan wakil pegawai Ibu pejabat Polis Kontinjen Melaka, Asisten Superintenden Shaharizan Shahaman.

Menurut Muhammad Firdaus, dalam setiap operasi termasuk yang diadakan di Plaza Tol Ayer Keroh baru-baru ini, anggotanya sempat merakamkan gelagat penunggang motosikal yang cuba mengelak sekatan jalan raya diadakan JPJ.

Kata beliau, mereka yang dikesan melakukan kesalahan itu akan diberi notis sebelum tindakan senarai hitam diambil mengikut Seksyen 55 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Selepas kenderaan itu dikenal pasti JPJ akan mengeluarkan Notis 114 untuk pemiliknya hadir dalam tempoh 21 hari.

"Jika mereka gagal hadir untuk temu siasat kompaun RM150 dikenakan serta akan disenarai hitam daripada memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan," tegasnya. - UTUSAN ONLINE