Penyelaras Gabungan NGO negeri, Haslihelmy DM Zulhasli berkata, kejadian itu seharusnya dijadikan sebagai pengajaran bahawa rakyat perlu menolak budaya buli di jalan raya.

"Kita perlu terus mendokong prinsip kesopanan dan kesusilaan yang termaktub dalam Rukun Negara bagi memastikan keharmonian negara kekal terpelihara.

"Perkara ini perlu menjadikan keutamaan kita sebagai rakyat pelbagai kaum di negara ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 1.40 petang itu, Syed Muhammad Danial maut setelah berlaku perselisihan faham dalam kemalangan kecil di lebuh raya tersebut.

Berikutan itu, sepasang suami isteri, masing-masing berusia dalam lingkungan awal 40-an dan lewat 30-an ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Haslihelmy berkata, Gabungan NGO negeri menzahirkan rasa dukacita dan simpati terhadap insiden yang menimpa Syed Muhammad Daniel.

"Kami menyambut baik usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertindak segera menahan individu yang terbabit dalam insiden itu agar siasatan lanjut dapat diadakan.

"Apa diharapkan, saksi kejadian tampil memberikan kerjasama serta berkongsi maklumat sebenar bagi membantu siasatan pihak polis," katanya. - UTUSAN ONLINE