Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, tempat ibadat tidak seharusnya dicemari oleh kata-kata yang bercanggah dengan ajaran Islam apatah lagi menggunakan alasan kononnya untuk tujuan berdakwah.

Beliau menegaskan, pihak tertentu perlu menggunakan saluran yang betul jika wujud sesuatu masalah yang perlu diselesaikan oleh kerajaan dan bukannya mengkritik kerajaan secara umum di dalam ceramah atau kuliah masjid.

"Kita semua tentunya faham perbezaan antara dakwah dan ceramah politik. Dakwah mempunyai nilai keilmuan, manakala ceramah politik pula bertujuan untuk mempengaruhi pendengar terhadap sesuatu ideologi atau pemikiran kepartian.

"Walaupun ia disulami dengan sirah dan hadis, ia tetap ceramah politik yang tidak bertujuan untuk berdakwah," katanya. 

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan sempena Majlis Ijtimak Menteri Besar dan Pelancaran Program Penarafan Bilik Air dan Tempat Wuduk Masjid-masjid Negeri di Dewan Seri Mentaloon di sini, hari ini.

Yang turut hadir Mufti negeri, Datuk Syeikh Fadhil Awang, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri, Datuk Dr. Ismail Salleh dan Pengarah Jabatan Agama Islam negeri, Datuk Abdul Rahman Ismail.

Mukhriz seterusnya mengingatkan semua pihak supaya menjadikan masjid sebagai medan penyatuan ummah seperti mana yang dituntut oleh Rasulullah SAW.

"Inilah juga yang selalu dititahkan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang melarang masjid dijadikan medan berpolitik, melainkan berfungsi sebagai pusat ibadat dan lambang kepada syiar Islam serta tempat penyatuan ummah," kata beliau lagi. - UTUSAN ONLINE