SIRAJUDDIN SALLEH

Timbalan Presidennya, Datuk Sirajuddin Salleh berkata, hal demikian ini kerana pe­periksaan untuk sijil tersebut tidak menggunakan kurikulum kebangsaan serta pengajaran dan pembelajaran adalah sepenuhnya dalam bahasa Mandarin.

“Mengiktiraf UEC adalah melanggar Akta Pendidikan 550 yang hanya mengiktiraf pendidikan yang berteraskan kurikulum kebangsaan.

“Selain itu, Perkasa berharap kedaulatan Bahasa Malaysia dapat diperkukuh dalam semua aspek pengajaran dan pembelajaran dari sekolah rendah hinggalah ke universiti. Melalui pendidikan, Bahasa Malaysia akan terus dijulang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Sirajuddin, Perkasa juga mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan memperkasakan institusi pendidikan Islam seperti sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) selaras dengan peruntukan Perlembagaan bahawa Islam adalah agama Persekutuan.

“Selain itu, kami mencadang­kan supaya tulisan jawi diwajibkan kepada semua murid Melayu di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan dalam beberapa mata pelajaran terutama yang berkaitan de­ngan agama Islam.

“Kami juga berharap Program Dwibahasa (DLP) akan dimansuhkan kerana program ini jelas membelakangkan Bahasa Malaysia dalam pengajaran dan pembelajaran dan jelas bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 550,” katanya.

Dalam pada itu, Sirajuddin turut menggesa Maszlee untuk merealisasikan hasrat bagi mewujudkan sekolah satu aliran yang dipercayai dapat menguatkan perpaduan dan mengekalkan keharmonian antara kaum di negara ini untuk jangka masa panjang.