Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, hal ini kerana sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat Malaysia mempunyai hak untuk bersuara bersesuaian de­ngan prinsip demokrasi yang diamalkan selama ini.

Katanya, Baitulmuqaddis adalah milik mutlak penduduk Palestin dan keputusan menganjurkan Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis adalah wajar dan perlu diberikan sokongan padu oleh semua pihak.

“AS hanya pandai berbual kosong, bagi saya mereka bukanlah pendukung sebenar amalan demokrasi yang begitu diagung-agungkan selama ini apabila dengan mudah mahu memberi ancaman kepada pihak yang menentang pendirian mereka.

“Himpunan solidariti mempunyai kepentingan lebih tinggi daripada agenda lain terutamanya politik, kesediaan pemimpin-pemimpin parti UMNO dan Pas melupakan perbezaan menunjukkan mereka mempunyai kekuatan moral dan intelektual yang tinggi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penganjuran Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis yang dijadualkan berlangsung di pekarangan Masjid Putra, Putrajaya selepas solat Jumaat esok dan akan disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan bukan Islam.

Sebelum itu, Duta AS ke PBB, Nikki Haley memaklumkan, Pre­siden AS, Donald Trump me­ngugut mahu mencatat nama negara yang menyokong draf resolusi PBB menolak pengiktirafan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Dalam pada itu, Presiden Ikatan Kebajikan dan Dakwah Sela­ngor (Ikkdas), Rosdi Long berkata, Baitulmuqaddis mendapat kemuliaan daripada Allah SWT dan sudah menjadi kewajipan umat Islam mempertahankan sesuatu yang telah dirampas hak miliknya demi menjaga maruah agama.

Katanya, Himpunan Solida­riti Selamatkan Baitulmuqaddis tidak wajar dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu kerana mi­sinya jelas iaitu membantah pengiktirafannya oleh AS sebagai ibu kota Yahudi yang mana kewujudan sebuah negara Israel tidak pernah diiktiraf komuniti antarabangsa sehingga ke hari ini.

“Isu ini melibatkan kepentingan umat Islam, semua pihak perlu faham maksud penganjurannya dan tidak perlulah dijemput secara surat-menyurat untuk menyertainya.

“Jika ada kesedaran tinggi sudah pasti siapa sahaja akan turun me­nyatakan sokongan, membe­la agama lebih penting daripada mem­bela kepentingan sendiri,” katanya.