Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, tindakan berani itu dilakukan semata-mata bagi mewujudkan sentimen antikerajaan dan cuba memprovokasi rakyat supaya turut masa mencabar intitusi diraja dan pemerintah.

Katanya, keadaan menjadi lebih teruk apabila kebiadapan pemimpin-pemimpin pembangkang menghina dan mengaibkan intitusi diraja dan kerajaan adalah kerana mereka tidak dikenakan sebarang tindakan atau hukuman biarpun corak dan cara yang digunakan agak melampau sejak kebelakangan ini.

“Dahulu mereka cuma mempersendakan pemimpin-pemimpin parti politik lapisan kedua, kini mereka tanpa segan-silu mempermainkan institusi diraja dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga membuat tohmahan dan cerita rekaan dengan bongkak tanpa rasa gentar atau segan-silu.

“Keberanian pemimpin Pakatan Harapan menyuburkan sentimen antikerajaan melalui cerita rekaan, penipuan dan tohmahan sudah sampai ke tahap yang melampau apabila Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menjadikan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang sedang gering sebagai bahan jenaka bagi membela Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Mahfuz berani mencemar dan mengaibkan institusi diraja menerusi perbandingan yang mempersendakan dan mempersoalkan Sultan Pahang yang terus bertahkta biarpun baginda gering dengan Dr. Mahathir yang sudah berumur tetapi masih sihat.

“Beliau perlu memahami susunan perlembagaan dan peranan Raja berperlembagaan adalah berbeza dengan proses politik pemilihan dan peranan seorang Perdana Menteri.

“Pokoknya ialah kalau dahulu Mahfuz bersungguh-sungguh mahu Dr. Mahathir dijatuhkan tetapi kini dia pula bermati-matian mahu mengembalikannya sebagai Perdana Menteri atas sebab dan muslihat politiknya semasa-mata. Itu hak beliau tetapi janganlah sampai mengeluarkan kata-kata yang mencemar kedaulatan institusi diraja,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau memberi contoh di negara jiran, Thailand, sesiapa yang menghina, mengaibkan atau mengancam Raja, Permaisuri, Tengku Mahkota dan sebagainya boleh dipenjarakan selama tiga hingga lima belas tahun.

“Memandangkan kebiadaban terhadap institusi diraja yang semakin berleluasa kebelakangan ini, perlukah kita memperkenalkan undang-undang ‘lese -majeste’ seperti Thailand di tanahair kita,” soal beliau. - UTUSAN ONLINE