Bahagian Komunikasi Korporat Mara dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kes berkenaan untuk tindakan lanjut oleh pihak berkuasa.

“Mara akan memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang perbicaraan mahkamah sebagaimana turut bekerjasama sepanjang proses siasatan yang dilaksanakan sejak 2014.

“Mara sentiasa memastikan integriti organisasi ini terpelihara dan tidak sesekali berkompromi dengan sebarang salah guna kuasa dan penyelewengan yang melibatkan kepentingan awam tanpa mengira jumlah suapan,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Azmi Umar, 42, bersetuju menerima dan memperoleh rasuah wang tunai RM3,000 daripada seorang peniaga berhubung penyambungan kontrak lot tapak niaga di sebuah pusat beli-belah di Shah Alam, empat tahun lalu.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Azmi yang ketika itu menjawat jawatan Pegawai Mara Daerah Shah Alam didakwa bersetuju untuk menerima dan memperoleh suapan berupa wang tunai RM3,000 daripada Sarabano Noor Mohamed, 44, sebagai dorongan untuk Panel Jawatankuasa Mara meluluskan penyambungan kontrak penyewaan lot G12 dan G13 di Anggerik Mall, Shah Alam yang telah tamat tempoh pada 30 Jun 2014. - UTUSAN ONLINE