Beliau melahirkan rasa terkejut dengan penyebaran pelbagai mesej melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook yang mempersoalkan penganjuran tersebut termasuk acara sukan diadakan hanya sehari setahun tidak akan menyebabkan seseorang itu sihat.

Beliau berkata, penganjuran acara itu sekali setahun hanyalah sebagai pemangkin untuk mendorong masyarakat supaya menjadikan sukan sebagai satu gaya dan budaya hidup.

“Malah Rasulullah SAW sendiri turut pernah menyentuh kebaikan bersukan. Rasulullah SAW bersabda melalui Riwayat Bukhari dan Muslim, ajarilah anak-anak kamu berenang, memanah dan menunggang kuda. Ketiga-tiga sukan ini amat memberi manfaat kepada tumbesaran fizikal badan dan mental manusia.

“Menunggang kuda baik untuk merawat segala masalah tulang belakang manusia termasuk sistem penghadaman, sistem saraf dan organ perkumuhan menjadi semakin sihat. Memanah pula melatih emosi dan fizikal dalam menyasarkan sasaran yang secara tidak langsung membantu manusia bertenang dan menstabilkan emosi manakala berenang me­nyaksikan mental, fizikal, otot dan tulang rangka membuat satu gerakan berkoordinasi. Ia juga membantu manusia menguasai air dan menjadi berani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Sukan MAIWP (Kasuma) 2016 di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Zainal Abidin Jaffar dan Ketua Pegawai Eksekutif, Pusrawi College of Medical Sciences (Picoms), Datuk Mohd. Zubir Sheikh Saad.

Kerajaan baru-baru ini mengisytiharkan Hari Sukan Negara akan diadakan pada setiap Sabtu minggu kedua Oktober untuk menimbulkan kesedaran rakyat mengamalkan cara hidup sihat.